SEREMBAN: Seorang pegawai
pembangunan usahawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, Jumaat lalu,
kerana didakwa mengemukakan tuntutan palsu dalam aktiviti pembinaan dan naik
taraf laman web program khas untuk menggalakkan pelajar sekolah di negeri ini
berniaga.
Muhamad Hafriz Alias, 30, yang
bertugas dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS)
bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan
terhadapnya di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad
Hafriz didakwa mengemukakan invois palsu berjumlah RM14,799 bagi kerja membina
sebuah laman web Program Tunas Niaga (PROtune), sedangkan jumlah bayaran
sebenar adalah RM7,299.
Bagi pertuduhan kedua, dia
didakwa mengemukakan invois palsu berjumlah RM10,800 bagi kerja menaik taraf
laman web berkenaan, sedangkan bayaran sebenar adalah RM5,400.
Dia yang tidak diwakili peguam
didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PKNNS di Jalan Za'aba, di sini,
masing-masing pada 2 September 2014 dan 2 Mac 2015.
Berikutan itu, dia didakwa
mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang
lima kali ganda nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika
sabit kesalahan.
Dalam rayuan mengurangkan
jaminan, tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak akan melarikan diri kerana
masih bertugas dan perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua.
Hakim menetapkan ikat jamin
RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 2 Mei depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan
Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi dan Pegawai Pendakwa SPRM Karmila
Mokhtar.

Comments
Post a Comment