Pelbagai istilah yang manis telah
direka bagi ‘menghalalkan’ rasuah oleh para penagihnya.
Istilah-istilah terdahulu seperti
makan suap, tumbuk rusuk, duit kopi, duit teh telah dimodenkan dengan istilah
seperti pelincir, hadiah, hamper tanda ingatan, duit raya dan banyak lagi.
Ia tetap tidak mengubah hukum
haramnya rasuah. Bahkan Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa
Rasulullah s.a.w telah melantik seorang lelaki dari Bani Asad untuk menguruskan
harta zakat.
Apabila datang berjumpa
Rasulullah s.a.w, beliau berkata “Wahai Rasulullah, ini adalah harta zakat
untuk diserahkan kepadamu dan ini pula adalah hadiah yang diberikan kepadaku.”
Lantas baginda terus bangun dan memuji Allah lalu bersabda “Ada ‘amil (petugas
mengutip zakat) datang kepadaku dan berkata ‘ini harta zakat dan ini harta yang
dihadiahkan kepadaku !!’.
Adakah sekiranya ‘amil ini tidak dilantik dan hanya duduk di rumah
ibubapanya, adakah diberikan hadiah kepadanya?”.
Di dalam kitab Fath al-Baari,
Imam Ibnu Hajar berkata bahawa hadis ini menunjukkan larangan seseorang
menerima hadiah daripada orang yang berada di bawah perlaksanaan bidang
kuasanya.
Di dalam kitab yang sama, beliau
juga meriwayatkan kisah Khalifah Omar bin Abdul Aziz yang sangat teringin untuk
memakan buah epal, tetapi tidak memiliki duit yang cukup untuk membelinya.
Dalam perjalanannya, beliau
terserempak seorang budak yang membawa buah epal lalu beliau mengambil sebiji
epal tersebut lantas menghidu baunya lantas dikembalikannya.
“Aku tidak memerlukannya”, kata
Khalifah Omar. Dikatakan kepadanya “Bukankah rasulullah s.a.w dan Abu
Bakar Al-Siddiq menerima hadiah?”.
Beliau menjawab dengan spontan
“Pemberian seperti ini adalah benar-benar hadiah untuk mereka, tetapi kepada
para penguasa dan pekerja selepas zaman mereka adalah rasuah !”.
Sifat wara’ yang ditunjukkan oleh
Khalifah Omar bin Abdul Aziz ini sewajarnya menjadi contoh kepada setiap orang
Islam yang benar-benar beriman kepada adanya mahkamah Allah di akhirat kelak.
Kita mungkin boleh terlepas di
dunia, tetapi tiada seorang pun yang mampu ‘merasuah’ juruaudit Allah di akhirat
kelak?

Comments
Post a Comment