Pada pandangan duniawi, rasuah
tiada beza daripada mencuri, merompak, menipu dan satu perbuatan yang
mengaibkan dan amat wicked, iaitu komplot kejam, berdosa dan tidak berakhlak
dari perspektif moral dan undang-undang negara.
Mengikut agama Islam pula (bahkan
semua agama), rasuah yang kini hangat diperkatakan di dalam masyarakat sebagai
penyakit makan suap adalah satu dosa besar. Allah berfirman (surah-al Baqarah
ayat 155): Janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain melalui jalan
salah dan jangan pula kamu menghulur harta kamu memberi rasuah kepada
hakim-hakim (mereka yang berkuasa) kerana hendak mengambil sebahagian harta
manusia dengan melakukan dosa (beri suap), padahal kamu mengetahui itu salah
(berdosa).
Penulis teringat kepada sebuah
pepatah Arab tentang korupsi - dan bangsa Arab yang terkenal dengan perbuatan
keji ini sekarang melarat - yang telah menawan masyarakat dan jiwa orang
Melayu: If the camel once get his nose in the tent, his body will soon follow,
maksudnya kalau hidung unta menembusi sebuah khemah tidak lama unta itu akan
memasuki khemah tersebut.
Mengikut Shakespeare dalam Henry
VIII (3.2.444) - Corruption wins not more than honesty. Thomas Fuller pada
tahun 1732 bermadah siapa yang membawa hadiah melihat pintu kuasa terbuka. Pada
pendapat penulis, yang terang-terang menunjukkan rasuah amat berbahaya lagi
keji ialah apakala seseorang itu mulai menerima rasuah ia sebenarnya telah
mulai keluar daripada agamanya, daripada prinsip politik dan boleh dikatakan
juga ia telah hilang kualiti kelelakiannya (manhood).
Suharto, Marcos, Estrada dan
terdahulu Raja Farouk Mesir dan beberapa monarki Arab dan Parti Labour Front
Singapura telah tumbang kerana rasuah. Kejatuhan Labour Front Singapura telah
memulakan pemerintahan PAP mulai pilihan raya umum 1959 hingga kini. Antara kekuatan
pentadbiran PAP ialah ia memerangi rasuah bersungguh-sungguh dan ia senantiasa
mendahului kebolehan, kebersihan dan keamanahan waktu memilih pemimpin-pemimpin
dan bakal pemimpin.
Islam mahu umatnya hidup bahagia
di dunia dan akhirat mengikut hukumnya. Antara hukum itu kita harus
bersungguh-sungguh berusaha. Rasuah, malas, fitnah-memfitnah dan kepura-puraan
dikutuk oleh Allah s.w.t tetapi gejala dan sifat buruk ini terus mengancam
akidah dan budaya Islam-Melayu.
Kenapa setelah Islamisasi menjadi
dasar dan ikutan - mungkin kerana penghayatan Islam itu hanya pada pakaian,
sebutan, kulit iaitu bukan kepada substance (isi dan jirim) sebenar Islam dan
tidak jujur - maka orang kita dilihat semakin sentiasa dirundung
ketidakkejayaan bahkan malang? Islam tidak salah, yang salah ialah pengikutnya
yang menjadikan agama sebagai alat kejayaan peribadi bukan ummah.
Seorang Puan Seri yang menghadiri
kursus agama daripada satu guru ke satu guru telah berterus terang kepada
seorang sahabatnya (seorang Datin) bahawa consciencenya (kesedaran apa yang
benar dan salah berhubung baik dengan fikiran apa lagi tindakan) kini amat
tidak tenteram sungguhpun pada lahiriah ia selalu bahagia. Suaminya sebelum
bersara dahulu seorang yang berkuasa dan menjadi rahsia umum seorang pegawai
yang banyak memungut harta melalui jalan yang dikutuk Allah s.w.t.
Puan Seri punya hujah dan
pembelaannya iaitu sang suaminya tidak minta mereka yang bermasalah datang
menemuinya dan masakan pula dia boleh menolak apa yang orang hendak beri.
Kepadanya, sang suami tidak berdosa kerana dia tidak minta, dia hanya menerima.
Kalau itulah, maka cetek fikirannya sebab itulah consciencenya memeranginya.
Kata imam Masjid Nurhidayah dalam
khutbahnya: ``Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tangkapan mereka yang
terlibat dengan gejala rasuah dan lebih menyedihkan kita bahawa dalam tangkapan-tangkapan
yang dibuat, ramai yang terlibat dalam kesalahan itu terdiri daripada umat
Islam (ada yang berpakaian dan bercakap sentiasa berkalimah seolah mereka
warak).''
Apakah sebabnya? Tegas imam itu:
``Dalam mengejar kekayaan... terdapat manusia yang terlalu rakus dan tamak
dengan harta benda sehingga sanggup mencampakkan diri mereka ke lembah
kebinasaan dan kehinaan. Jenayah rasuah sangat dikutuk oleh Allah s.w.t dan
rasulnya.''
Shah Iran dan sejarah kesultanan
Melayu dan raja-raja Islam lain jelas menunjukkan rasuah ini lumrah di kalangan
orang atasan kerana mereka berkuasa dan juga di kelas bawah kalau mereka ada
kuasa.
Jika perkara ini berulang pada
masa kini, itu adalah tanda terzahir bahawa kita tidak akan dapat mengawal pada
akhirnya keruntuhan kita sendiri. Jelas sesuatu tidak berjalan baik. Kalau
lesen palsu senang didapati, mereka yang tidak berhak dapat, yang lebih berhak
gagal. Perbuatan keji ini berlaku termasuk di jabatan-jabatan dan agensi-agensi
agama juga dan mereka akan membawa kebinasaan kepada bangsa, agama dan watan.
Kenapa orang Islam termasuk
mereka yang alim dengan agama melakukan rasuah dan tidak takut kepada neraka?
Pada hal Allah dan rasul-Nya
lebih suka melihat umatnya berpenat lelah mencari rezeki yang halal daripada
mengambil rasuah.
Seterusnya barang diingat firman
Allah bahawa baik yang menerima dan memberi rasuah tempatnya neraka jua. Puan
Seri yang berkenaan harus sedar yang salah dan dosa itu dosa juga walaupun guru
agama itu bertutur dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris, Turki, Melayu atau Jawa!
Kerajaan yang baharu ditubuhkan
selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mesti bersungguh-sungguh membanteraskan
rasuah dan kembalikan maruah kesucian Islam pada kaca mata umatnya dan orang
lain dan tidak berkompromi dengan `kambing-kambing hitam' yang mencemarkan nama
murni agama dan bangsa.
Ambillah iktibar hadis Rasulullah
ini: ``Pada hari kiamat kelak segolongan manusia yang amal kebajikannya
seumpama bukit (tohamat) tetapi Allah akan menjadikannya debu yang berterangan
selepas ia dicampakkan ke dalam neraka. Lalu ditanya kepada Rasulullah dan
jawabnya: ``Mereka itu semuanya bersembahyang, berzakat, berpuasa, mengerjakan
haji (dan umrah banyak kali pula) cuma mereka apabila ditawarkan sesuatu yang
haram (rasuah, perempuan, cuti percuma, hadiah, night club dan hiburan lain)
mereka terus ambil lalu Allah membatalkan amalan mereka.''
Ramai juga berpendapat Allah Maha
Pengasihani dan Pengampuni maka mereka terus melakukan rasuah kononnya
perbuatan yang keji ini boleh dihapuskan dengan membuat umrah dan bertaubat.
(Main-main taubat, lepas itu buat balik, taubat pula!)
Hadis Rasulullah ini tersangat
jelas: Tak payah bersuluh dan berguru lagi.

Comments
Post a Comment