MUKADIMAH: SEBAGAIMANA orang Islam berasa jijik dengan babi, begitulah
juga gambaran yang perlu diberikan terhadap perlakuan rasuah, kata Mufti
Wilayah Persekutuan, DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI. Bercakap kepada
wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto,
SHAIFUDIN MOHD. NOR di pejabat beliau di Putrajaya, Sabtu lalu, beliau berkata,
gambaran tersebut perlu ditanam dalam minda masyarakat seawal prasekolah
sebagai salah satu pendekatan bagi memerangi rasuah.
Sambil memuji usaha agresif
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah, Zulkifli
menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu melihat kepada kesenangan yang
bersifat sementara tetapi natijah daripada perbuatan mereka itu serta bagaimana
akan berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.
“Dalam sejarah kejatuhan kota
Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai
Hulagu Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir
sejuta orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab
masingmasing, al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya
adalah rasuah,” katanya.
Mengikut Islam, apakah pengertian rasuah?
ZULKIFLI: Dalam Islam kita sebut 'risywah’, daripada kalimah
'rasya’. Makna asalnya seseorang memberi kepada orang yang berkuasa atau mereka
yang ada kedudukan seperti hakim atau pemerintah untuk mengambil dan memakan
harta orang lain dengan cara batil. Itulah maksud 'risywah’ yang disebut dalam
al-Quran.
Allah SWT berfirman: “Dan
janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan
janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan
supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang
berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188).
Bagaimana Datuk melihat isu rasuah dengan tangkapan yang dilakukan oleh
SPRM mutakhir ini?
ZULKIFLI: Yang pertama jelas menunjukkan betapa kesungguhan SPRM
dalam menangani isu rasuah sehingga mereka benar-benar mengambil tindakan yang
begitu agresif sesuai dengan tanggungjawab yang diberikan bagi menjadikan
negara kita sifar rasuah.
Kedua, boleh jadi kerana zaman
moden ini melalui pencapaian media massa yang menyebabkan setiap sesuatu yang
berlaku itu mudah diketahui dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar dengan
pantas.
Saya juga rasa kesedaran
masyarakat untuk tampil melaporkan pelaku rasuah semakin meningkat. Mereka
melihat segelintir yang tersilap dan tersalah itu tidak boleh dibiarkan. Maka,
laporan demi laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Begitu juga dengan hal-hal
yang menyebabkan mereka mengambil satu tanggungjawab bersama untuk membanteras
isu ini.
Sama ada besar, kecil, sederhana,
langsung atau tidak langsung terus dinyatakan bahawa ia perkara yang amat keji
dan tidak dibolehkan. Maka kita tengoklah hasil kesungguhan SPRM, kerjasama
orang ramai, maka berlakulah sebahagian yang dapat kita lihat mutakhir ini.
Walaupun rasuah ini jelas haram dalam Islam dan salah di sisi
undang-undang, tetapi melihat kepada penahanan oleh SPRM, umat Islam
seolah-olah tidak menganggap rasuah sebagai satu dosa besar. Apa komen Datuk?
ZULKIFLI: Boleh jadi sebab kefahaman dan takrifan rasuah itu yang
dikatakan mungkin bagi mereka ini tidak apa. Ini kerana rasuah itu banyak
diganti dengan nama seperti sekadar hadiah, buah tangan atau dalam bahasa Arab
disebut ‘baksheeh’. Ini ‘baksheeh’ sikit-sikit sajalah atau ini duit kopi
sedikit sahaja. Inilah nama-nama yang digunakan untuk cuba lari daripada makna
rasuah sedangkan itulah maknanya.
Baru-baru ini SPRM melancarkan Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) dan
Kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) bagi mendapatkan
sokongan daripada semua pihak untuk memerangi rasuah di negara ini. Pada
pandangan Datuk, apakah cara yang paling berkesan dari perspektif Islam yang
boleh dilaksanakan oleh SPRM?
ZULKIFLI: Biasanya Islam memang datang dalam dua bentuk. Pertama
suruh dan kedua jangan. Jadi SPRM sebagai agensi menentang dan membasmi rasuah,
kalimah jangan itu tidak lari daripada bidang tugasannya. Kecuali dari segi
kaedah psikologi, bila jangan itu, ia membawa satu impak yang menunjukkan
berlaku penentangan jiwa, syahwat dan nafsu.
Tapi dalam bentuk pujukan, boleh
jadi dengan cara kita menggunakan beberapa istilah yang lebih lunak. Cuma
keadaan semua manusia tak sama; tabiat dan habit. Ada orang suka kepada pujian
dan orang yang suka kepada ajakan dan dakwah. Tapi ada orang, walaupun guna
kaedah pujukan, ajakan dan dakwah, dia tak ‘makan’ tetapi memerlukan satu
hukuman yang keras dan tegas.
Jadi usaha-usaha seperti ini
adalah salah satu ijtihad SPRM dalam menangani isu-isu rasuah. Bagi saya ini
percubaan yang baik dan boleh dikembangkan dan difikirkan dari semasa ke
semasa. Sebagaimana yang dinyatakan (sabda Rasulullah SAW) “Hikmah itu adalah
barang kehilangan bagi orang yang beriman. Di mana dia jumpa, dia berhak
mengambilnya.” Maknanya, apa sahaja idea baharu yang tuntas dan baik termasuk
kempen yang membawa kesedaran, maka semuanya tidak menjadi satu kesalahan.
Inilah sifat yang sebaiknya, kita mencuba dan sanggup untuk meredah serta
melakukan perubahan.
Mungkin Datuk ada cadangan tentang pendekatan yang boleh digunakan
untuk memerangi rasuah.
ZULKIFLI: Apa yang penting juga, kita tanamkan dalam minda
masyarakat sejak tadika lagi bahawa rasuah ini satu gambaran yang jijik, keji,
kotor dan tidak baik. Jangan nampak kereta atau rumah yang besar tapi nampak
natijah yang sangat buruk. Kita tanamkan gambaran seperti itu.
Sebagai contoh kalau kita cakap
dalam konteks masyarakat Islam, sejak nenek-moyang kita sampai sekarang, bila
sebut babi sahaja memang berat benar. Tak boleh langsung. Maknanya, tak makan
dan apa-apa benda sebut khinzir tak boleh. Memang teruk sangat.
Tetapi dalam bab-bab yang lain
pun kita kena ambil pendekatan yang hampir sama. Kita nampakkan rasuah adalah
satu jenayah yang boleh menghancurkan kehidupan seseorang, institusi
kekeluargaan, masyarakat, peradaban dan negara.
Dalam sejarah kejatuhan kota
Baghdad pada 656 Hijrah misalnya, tentera Mongol dan Tartar yang diketuai Hulagu
Khan dengan mudah ‘menganyang’ umat Islam dan bilangan kematian hampir sejuta
orang mengikut andaian Ibn Kathir dan Ibn al-Athir dalam kitab masing-masing,
al-Bidaya wal Nihaya dan al-Kamil fil Tarikh. Salah satu puncanya adalah
rasuah.
Mereka yang ditangkap oleh SPRM ada yang berjawatan tinggi dan
berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri. Malah ada juga orang berpendidikan
agama terlibat dalam penyelewengan wang zakat dan tanah wakaf. Di mana
silapnya?
ZULKIFLI: Dalam bahasa mudah, salah satu makna rasuah ialah harta,
duit, wang atau yang dapat ditukar daripada itu untuk menghasilkan apa yang
dihajati. Bila keadaan macam itu, ini merupakan jalan pintas untuk dapat apa
yang dihajati. Maka dia akan buat walau macam mana pun.
Contoh, dengan kerja macam itu,
mungkin kita hanya akan dapat beli rumah berharga RM300,000 dan hampir pencen
baru habis bayar. Tetapi dengan cara rasuah, mungkin boleh beli rumah berharga
RM3 juta dan habis dibayar dalam masa yang begitu pendek.
Perbuatan seperti itu sebenarnya
adalah pertarungan dalam jiwa seseorang sama ada dia boleh mengawal nafsu atau
tidak. Orang yang terlalu kasih kepada harta tidak akan lagi melihat kepada
natijah tetapi mereka nampak sebuah kesenangan yang bersifat amat sementara
sedangkan terpalit pelbagai isu.
Perkara seperti ini tidak pelik
kalau kita tidak ada iman walaupun kita seorang ustaz atau mufti. Bagi saya
pendekatan agama adalah amat penting. Kita cuba tanamkan pendekatan agama dan
kita faham itu.
Kita tengok kisah ketika
Rasulullah SAW menyampaikan dakwah di kota Mekah. Orang bukan Islam menawarkan
harta dan mahu mengangkat baginda sebagai ketua jika Rasulullah SAW berhenti
berdakwah. Tapi Rasulullah SAW tolak.
Bila diuji terlalu banyak,
baginda mengatakan "kalaulah mereka sanggup letak matahari di tangan
kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk aku tinggalkan urusan ini, demi Allah
aku tidak akan tinggalkannya sehingga aku mati."
Kita tengok juga macam mana
sejarah Salaf al-Salih zaman dahulu, walaupun ditawar pelbagai ganjaran mereka
tidak kisah pun.
Manusia mulia kerana maruah dan
prinsip dirinya. Manusia yang hilang maruah atau prinsip dirinya, tidak kira
siapa dia dan apa watak dia, dia rebah kerana tidak ada lagi izzah atau
kemuliaan.
Apakah pesanan Datuk kepada mereka yang masih leka melakukan jenayah
rasuah dan juga kepada mereka yang telah ditangkap?
ZULKIFLI: Kita mesti bertegas dalam isu seperti ini, bukan kerana
kita takut semata-mata kepada undang-undang. Undang-undang rasuah (hukumannya)
empat tahun, 15 tahun atau 20 tahun duduk dalam penjara. Makan percuma dan
kalau sakit pun dihantar ke hospital atau klinik. Boleh rehat dan tidur sahaja.
Kalau fikir macam itu, kita tak selesai. Kita perlu berfikir bagaimana kita
berdepan dengan Tuhan di akhirat kelak.
Bila tengok rasuah, kita perlu
lihat dalam skala yang besar. Rasuah menjahanamkan negara, rasuah menjadikan
ekonomi merudum, keyakinan pelabur kurang, hilangnya penghormatan terhadap
seseorang, kehormatan akan jatuh, hilangnya maruah dan pandangan yang begitu
teruk terhadap seseorang itu. Tidak ada satu pun gambaran yang baik tentang
rasuah.
Tengok sejarah membuktikan
syarikat gergasi seperti Enron dikatakan jatuh sebab rasuah. Ini semua memberi
satu pengajaran dan petunjuk yang baik kepada kita supaya kita wajib
meninggalkan rasuah. Allah SWT tidak mensyariatkan atau melarang sesuatu
kecuali maslahah itu terwujud bagi manusia dan inilah sifat syariah Islamiah.
Ia diperakui oleh fitrah dan naluri manusia bahawa memang rasuah adalah tidak
baik dan amat keji serta jijik.
Mengikut Islam, apakah hukuman yang paling sesuai bagi pesalah rasuah
dan apakah ia sudah dilaksanakan di negara ini?
ZULKIFLI: Ini termasuk dalam kaedah yang dibuat oleh imam atau
pemerintah sebagai takzir. Kalau di tempat itu terlalu banyak isu rasuah,
mungkin kadar hukuman itu boleh dikerasi tetapi bila (rasuah) kurang, mungkin
boleh dikurangkan. Ikut keperluan semasa dan kebijaksanaan siasah pemerintah di
satu-satu masa dan tempat.
Ada pihak berpandangan ahli-ahli agama termasuk ulama dan mufti kurang
bersuara dalam isu memerangi rasuah.
ZULKIFLI: Hendak kata kurang sangat pun tak, hendak kata kuat
sangat pun tak. Pertama, masalah ini biasanya kadang-kadang ia timbul
sekali-sekala dalam bersaiz mega dan besar dalam media. Apa yang saya tahu,
adanya kerjasama antara SPRM dan jabatan agama Islam dalam khutbah-khutbah
tentang menjauhi rasuah.
Cuma pada saya, dalam isu seperti
ini, tidak perlu kita menuding jari kepada orang itu atau orang ini. Ia
bersifat keseluruhan, iaitu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Pemimpin kena tegas dengan
dasar-dasar antirasuah, para ulama menyampaikannya dan disampaikan di
mimbar-mimbar. Buat kempen dalam televisyen, buat sketsa tentang akibat dan
natijah rasuah, radio dan akhbar memberitahu implikasi rasuah. Semua akan
terbabit dan boleh dibuat sama ada bersifat berkala, mingguan, bulanan atau
tahunan.
Mungkin kita buat Minggu
Antirasuah, Bulan Antirasuah dan Hari Tanpa Rasuah. Bukan maksud saya hari lain
boleh lakukan rasuah tetapi penonjolan utama atau fokus yang menunjukkan
kesungguhan dan keseriusan kita menangani rasuah. Maka para guru, pensyarah,
imam, bilal dan orang biasa boleh bercakap tentang rasuah.
Bagi saya, kalau cakap orang ini
tidak bercakap dan orang itu tidak bercakap, isu ini tidak akan selesai. Banyak
benda kita nampak, orang suka menuding jari.
Baik semua pihak buat kerja.
Masing-masing perlu bersiap siaga menangani sebarang isu dan ambil ruang serta
posisi yang diizinkan dan menggunakan semaksimumkan mungkin untuk sama-sama
bersepadu bagi menyelesaikan isu ini.
Apakah pandangan Datuk tentang tindakan agresif oleh SPRM di bawah
pimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam memerangi rasuah?
ZULKIFLI: Saya ucap syabas kepada Datuk Dzulkifli. Sekalipun saya
belum bertemu secara langsung lagi tetapi saya pernah terserempak dengan beliau
dalam satu majlis pertemuan dengan wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar,
Syeikh Prof. Dr. Abbas Syuman di sebuah hotel. Maka berbuallah sekejap.
Tetapi apa yang kita fahami,
bermula dari permulaan jawatannya dan saya tengok kenyataan-kenyataannya,
sikapnya serta sedikit latar belakangnya dan juga tindakan-tindakan yang
dilakukannya, nampak sangat keseriusan dan kesungguhan serta tanggungjawab yang
amat baik telah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Saya ucapkan syabas dan
mudah-mudahan beliau dengan warga SPRM terus-menerus akan menjalankan amanah
dengan jayanya.
Saya katakan kepada beliau dan
warga SPRM, jalanlah kamu di atas keberkatan Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT
memberikan kepada kita taufik dan hidayah, menyebabkan dasar-dasar yang
dilakukan boleh membawa kepada sifar rasuah di negara kita atau dengan erti
kata lain, rasuah akan terhapus dan mati dalam kehidupan ummah di Malaysia.

Comments
Post a Comment